Sunday, 23 September 2012

kita semua kan cikgu, kenapa nak menghukum sesama sendiri



Yeah, sudah kembali ke maktab, dan tak ku sangka akhirnya aku dah pun menjadi senior semester enam.  Kalau ikut heiraki students dalam IPG , semester enam ni boleh kira lapisan kedua selepas semester lapan. Kira geng – geng otai atapun dalam bahasa kasarnya, dah macam bapak orang.

Bila dah bergelar super duper senior ni, mulalah terasa diri ni besar, konon penuh segala ilmu di dada, berjalan pun dah macam level pensyarah kat IPG. Seronok sebab dalam masa setahun lagi, aku akan graduate dan diposting bekerja di bawah kementerian pelajaran.

Aku lepak café dengan kawan – kawan kelas. Melihat adik – adik junior yang masih lagi hijau muda, sedikit sebanyak membuatkan aku terkenang zaman aku mula – mula menjadi guru pelatih tahun 2008 dahulu. Sekarang  sudah masuk akhir 2012. Melihat imbasan cermin di café, jelas memperlihatkan wajah aku sudah tak sejambu waktu gila – gila remaja dahulu. Ceh


Aku melihat kelakuan mereka. Aku tersenyum bila mengenangkan ada beberapa budak batch dan senior aku membuka cerita mengenai mereka. Ada yang baik, ada juga yang aku kira kurang enak untuk didengar.  Dan ada juga pihak yang terus menjatuhkan konklusi bahawa mereka ini tidak mempunyai gaya seorang guru, mungkin akan melahirkan murid yang tidak berkualiti dan bla bla bla….persetankan itu semua

Aku kadang – kadang buat tak endah dengan tanggapan orang. Bagi aku, siapa kita untuk menilai orang baik buruk mereka.  Kalau mereka menghukum golongan manusia sebegitu, tidakkah mereka sedar bahawa mereka juga pernah dinilai oleh golongan yang lebih berpengalaman dari mereka.  Sesiapa yang lebih tua akan melihat golongan muda ini sebagai satu refleksi kesilapan dalam hidupnya.

Aku sendiri bukannya seorang individu yang dikira cemerlang sahsiahnya semasa 4 tahun hidup di IPG. Cukup aku katakan, menjadi guru bukan pilihan pertamaku empat tahun dahulu. Sekadar memenuhi hasrat abah untuk melihat aku menjadi guru, aku pikul juga tanggungjawab ini dengan hati yang berat.



Sepanjang 2 tahun pertama, kehidupan aku sendiri macam penjara, dan pastinya ada senior – senior yang melihat aku sebagai satu ikon negatif dalam bidang perguruan. Sehingga kini, masih menjadi satu rahsia, siapa yang meletakkan  tilam maktab sebagai alas landing bagi pelajar yang panjat pagar.  Dan aku sendiri merupakan orang yang boleh dikira sebagai golongan pertama yang mula – mula keluar IPG melalui pagar Teltrac, pastu semua junior dan senior pun dah berani buat.

Bagi aku, semua orang pernah buat silap, bak kata pepatah, bumi mana yang tak ditimpah hujan, longkang mana yang tak tersumbat, betul tak? Setiap orang belajar dari kesilapan dan kesilapan tu akhirnya menjadi input dalam pengalaman kita. Sekarang ni aku sendiri boleh tersenyum, melihat kepada keputusan praktikum dan reaksi anak murid, konklusinya, seburuk – buruk guru pelatih, kalau dia ikhlas mengajar dengan usaha dan kesungguhan, dia akan menjadi guru yang baik akhirnya.


Bagi aku, better jadi guru pelatih yang bersifat gila – gila, berdikari dan tidak terlalu bergantung pada pandangan orang. Kadang – kadang dalam arena pendidikan ini, kita kenalah gerak lain sikit dari orang lain, supaya ada kelainan. Itu je pendapat sepuluh sen gua

Aku sendiri pernah jadi mangsa kritikan para senior, jadi aku paham bila ada junior yang cakap, kenapa senior tu tak mesra? Even aku dah sem 6 ni pun, ada lagi senior – senior atas tak percaya kebolehan para junior mereka. Mungkin mereka rasa mereka lebih berpengalaman kerana mereka lebih dahulu mengikuti kursus. Bagi aku, kalau dulu aku praktikum, junior pun akan praktikum. Kalau aku buat thesis, junior pun akan menyusul gak untuk melakukan kerja yang sama.

Sekarang ni, aim aku satu je, bantu junior- junior yang nak kan bimbingan, bukan hukum dorang tanpa satu asas yang kukuh. Sama – sama keluar nak jadi cikgu kan? Kalau nak menghukum, baik jadi tukang sapu.

Saturday, 22 September 2012

musim assignment



Aku duk mengulang playback lagu set fire to the rain by Shila Hamzah. Aku suka part dia mendayu  dia tarik suara husky . Kalau awek aku tahu, aku duk layan minat Shila Hamzah ni, mau merajuk gak dia sehari dua. Nak – nak Shila Hamzah sekarang dah bertudung, pergh kalau bawak jumpa parents aku, hari ni tunang, esok pagi terus akad nikah. Tapi itu semua hanya mimpi, jauh angan dari pagi.


Aku sekarang musim assignment, aiseh … tangan duduk menaip
Murid di tahap dua telah melalui proses perkembangan dan pertumbesaran secara berperingkat. Mereka mula menguasai kemahiran kawalan psikomotor kecil seperti penggunaan tangan dalam manipulasi alatan dan bahan dalam berkarya. Selain itu perkembangan kognitif yang meningkat membantu mereka dalam membuat pengamatan, membuat analisis, banding beza serta dapat menguasai konsep keindahan estetika menggunakan laras bahasa seni.
Walaubagaimanapun, pengalaman mengajar mata pelajaran pendidikan seni selama 3 bulan di dua buah sekolah yang berbeza menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang ketara di antara perkembangan kemahiran dan kognitif di antara murid tahap satu dan murid tahap dua. Penilaian dilakukan dari segi formatif dan hasil menunjukkan bahawa majoriti responden menunjukkan kurang penguasaan dari segi kemahiran tangan, daya kreativiti dan pengetahuan mengenai laras bahasa seni.
Kajian dan penilaian dari soal jawab bersama responden ( 25 orang murid tahap dua) , Guru yang mengajar mereka mata pelajaran pendidikan seni sebelum ini tidak menitik beratkan mata pelajaran ini sewajarnya. Kebanyakkan masa pendidikan seni dibiarkan kosong tanpa pengisian ilmu ataupun diisi dengan mata pelajaran lain. Hal ini sangat merugikan kerana mata pelajaran pendidikan seni merupakan salah satu subjek yang menekankan daya kreativiti murid, penguasaan kemahiran dan pengamatan mereka akan sesuatu benda dan perkara.
Hasil dari amalan pengajaran pendidikan Seni Visual yang tidak professional akhirnya menghasilkan murid yang kurang berkebolehan dalam menghasilkan idea kreatif, kurang keyakinan dalam menguasai sesuatu kemahiran dan lebih jelas lagi, mereka tidak mempunyai kesungguhan dalam melakukan sesuatu”.
Sampai je part situ, aku  tarik nafas dan tengok balik surat yang anak murid aku bagi. Kadang – kadang aku pikir, apalah cikgu dorang mengajar sebelum ni? Tak ikut syllabus ke, dah tersedia Huraian sukatan psv mengikut tahun, kenapa masih nak sia – siakan masa mengajar?

Gua pandang kiri, karya final tuk persembahan baru 5 percent .....

Ok, sleep mode, tak larat menaip, esok pergi maktab, yeah~ 

Thursday, 20 September 2012

Praktikum sudah habis bro….



Tamat sudah sesi lakonan ku sebagai seorang guru selama dua bulan, dan akhirnya rancanganku berjaya. Aku membuatkan penonton – penonton iaitu muridku sendiri menangis bila di saat akhir aku katakan “ ini adalah masa terakhir saya mengajar kamu, dan marilah kita bina waktu akhir ini dengan kenangan yang gembira”.



Di saat itu, dua tiga murid lelaki mengalirkan air mata termasuk juga murid perempuan yang menarik tudung ke atas bagi menutup mata mereka yang kebasahan.  Jika ditanya, “kenapa cikgu tak mengajar lagi di sini?" dengan nada suram Aku menjawab “ sebab cikgu kena balik maktab, ramai dah awek cikgu tunggu kat sana” Dan di saat itu mereka tertawa dan berkata “ cikgu galok eh, hahah”.


Pada mulanya, dorang ingat aku seorang yang garang, kerana wajah aku yang sedikit comel dari pembunuh upahan. Tapi dorang tak tau, perangai aku sebenarnya seorang yang suka main – main, gelak – gelak dan suka ketawa kuat – kuat.  Aku suka bermain dengan emosi mereka, kerana hari mereka penuh gembira dan gelak tawa. Bercampur dengan kanak – kanak, kadang – kadang adakalanya kita rasa sedikit terganggu sebab mereka kurang matang, suka buat bising dan hanya ketakutan melalui kegarangan seorang guru yang betul – betul bengis yang dapat mendiamkan mereka.



Tak nak cerita panjang – panjang….nanti mata aku plak berair….Last day tu, aku tak mengajar mengikut lesson plan…aku jumpa dorang, 5 kelas semuanya darjah 3, darjah 4 dan darjah 5. Yup mereka memang nakal, sedikit bising ( bising gila) tapi mereka penyayang. Kasih sayang murid kepada guru sebenarnya ibarat anak kepada mak bapak mereka. Mereka tahu kenapa kadang – kadang aku garang, kenapa kadang – kadang, aku cubit perut mereka (cubit manja, ahaks~) tarik pipi dan sebagainya ( pipi budak – budak sedap tarik dowh, comel gila). Last – last, dorang menangis bila aku katakan, aku tak kan mengajar mereka lagi, cikgu lama yang akan mengambil semula tempat yang aku pegang selama dua bulan ni.


Hadiah dan surat, penuh dalam beg, tak kurang juga kata – kata rayuan agar aku kembali mengajar mereka. Mungkin bagi mereka, aku seorang guru yang boleh dikelaskan sebagai abang ( jarak umur kami hanya 10 tahun), sebagai seorang bapa (ramai murid tulis, cikgu baik sangat, macam ayah saya) dan sebagai kawan ( lepas salam tangan, aku suka buat high five dengan murid).


Dulu aku selalu rasa, tak best jadi cikgu sekolah rendah, kerja tak popular, tapi ini adalah nikmat yang aku rasa profession lain susah untuk nak jumpa….


Kasih sayang dan penghargaan. Kami guru tidak perlukan pujian dan penghargaan dari pihak atasan, selagi murid masih lagi menyambut tangan kami untuk disalam dan dicium. Masih lagi mendahlui salam kepada guru bila berjumpa dan menguntum senyuman bila wajah kami di hadapan mereka. Itu sudah lebih cukup dari nikmat dunia, dan aku pasti saham akhirat aku sudah mula terkumpul sikit demi sedikit. Insya Allah